Saturday, July 18, 2015

Rumah yang Berkembang: Pengajaran daripada Keanjalan Matematik pada Rumah Tradisional Melayu

Abstrak
Keluarga merupakan unit terkecil dari sebuah tamadun yang memegang peranan  penting dalam menentukan corak dan karakter sesebuah peradaban. Sebuah tamadun yang kuat hanya dapat lahir dari  institusi-institusi keluarga  yang  kuat.  Oleh  kerana  itu  di  dalam  usaha  memperkuatkan peradaban dan budaya Melayu kita perlu meneguhkan lagi sistem keluarga-keluarga yang ada pada masyarakat Melayu. Permasalahan yang paling serius dapat diperhatikan pada bidang Seni Bina  di dalam usaha memperkuatkan sesebuah keluarga secara fizikal adalah kondisi dan situasi dari perumahan moden kita. Baik dari aspek keselamatan, keselesaan dan kemampuan untuk berkembang, perumahan moden kita memperlihatkan suatu krisis budaya dan identiti yang sangat serius dan memerlukan pemantauan yang prihatin. Salah satu aspek yang cukup cukup serius dan kelihatan kurang mendapat perhatian yang cukup adalah perancangan terhadap kemampuan dari suatu rumah untuk berkembang atau mengecil mengikut keperluan dan keinginan daripada pemiliknya. Perkara  ini  sangat  kontra  dengan  rumah-rumah melayu  tradisional yang  begitu mudah   dapat berkembang, mengecil, ditambah atau bahkan dipindahkan mengikut dengan kepentingan dan keperluan dari pemilik dan masyarakat sekitarnya. Kertas kerja ini akan mencungkil dan mengenal-pasti permasalahan dari perumahan moden di Malaysia untuk berkembang dan pada masa yang sama berusaha menggali potensi dan kemampuan berkembang dari rumah tradisional Melayu dan beberapa idea Seni Bina Moden yang berkaitan  dari luar Negara. Diharapkan kertas kerja ini ini akan dapat memulakan sebuah kajian yang lebih lengkap dan terperinci bagi pengembangan perumahan moden di Malaysia yang lebih sensitif terhadap budaya Masyarakat Melayu serta keperluan suatu keluarga untuk berkembang.
Kata Kunci: Rumah Berkembang, Keanjalan Matematik dan Rumah Tradisional Melayu
1.0 Pendahuluan
Tujuan utama penulisan kertas kerja ini adalah mengenalpasti permasalahan utama dari keterbatasan perkembangan perunahan moden di Malaysia. Proses mengenalpasti ini sangat penting bagi keperluan sesebuah keluarga sebagai sebuah elemen asas dari sebuah tamadun untuk membesar  atau  bertransformasi kepada  suatu  bentuk  keluarga  yang  lain.  Keperluan perkembangan dan transformasi sebuah keluarga sejak dulu telah dikenalpasti dan dipenuhi oleh tukang-tukang tradisional di tanah Melayu melalui pelbagai pendekatan reka bentuk yang mereka hasilkan dan ianya telah terbukti dapat diadaptasikan dan sensitif terhadap keperluan budaya, semangat sezaman serta setempat dari sesebuah keluarga. Pembahasannya sendiri akan terbahagi kepada lima (5) bahagian iaitu Krisis dan Permasalahan dalam Kajian Seni Bina, Krisis dan
Permasalahan Perumahan Moden untuk Berkembang dari Sudut Perspektif Sebuah Keluarga, Pengajaran dari Rumah Tradisional Melayu, Pengajaran dari Beberapa Arkitek Master Seni Bina Moden  serta  Kerangka Pemikiran, Isu  dan  Faktor  yang  Mempengaruhi Pertimbangan Reka Bentuk Rumah yang berkembang. Diharapkan kertas kerja ini akan memulakan sebuah kajian yang lebih mendalam terhadap warisan budaya tanah melayu ini yang kian  dilupakan oleh para arkitek sebagai tukang moden yang kelihatan begitu taksub dan merujuk kepada produk seni bina luar Negara yang mungkin kurang sesuai bahkan bertentangan dengan budaya serta keperluan masyarakat Malaysia.
1.1 Krisis dan Permasalahan dalam Kajian Seni Bina
Permasalahan utama dari pelbagai kajian dalam seni bina dewasa ini adalah kecenderungannya untuk  hanya  berorientasikan  kepada  objek.  Para  arkitek  dan  ahli  akademik  dalam  bidang profesyen ini lebih melihat seni bina sebagai suatu ilmu untuk menghasilkan bangunan dan menerapkan suatu gaya rupa sahaja. Profesyen dan ilmu seni bina juga diperlakukan sebagai sebuah karya seni dan dikembangkan sebagai sebuah disiplin ilmu yang elit serta hanya melibatkan segelintir orang sahaja sebagaimana dikatakan oleh John Ruskin berikut:
The  architect is  carefully guarded from  the  common troubles of  the  common man, building ignorant, purse proud digesting machines…Living art must have more in it than imitated Style.1
Sikap yang berorientasikan kepada objek akan mengetepikan kerangka nilai dan konteks dari suatu produk seni bina. Para arkitek dan ahli akademik seringkali mengabaikan permasalahan sosial masyarakat, budaya, bahkan keselesaan hanya demi memenuhi cita-cita suatu gaya rupa atau  imej  objek  yang  dikehendaki.  Ruang  atau  bangunan  sebagai  sebuah  karya  seni  bina seringkali terpamer sebagai sebuah ekspresi simbol dan suatu bentuk gaya-rupa tanpa memperdulikan suatu organisma bernama manusia yang akan menggunakannya sebagaimana dapat pada pembahasannya lebih lanjut di bawah ini.
Sikap dan pandangan yang melihat seni bina sebagai sebuah karya seni di sisi yang lain telah mengasingkan seni bina  dari keperluan nyata dari penggunanya menjadi sebuah kajian elit yang hanya difahami oleh segelintir orang dan kelompok tertentu sahaja. Pandangan sebegini lebih melihat seni bina sebagai sebuah produk yang mempunyai naluri dan imaginasi yang sukar diukur dan sangat abstrak. Arkitek seharusnya belajar dari pengalaman perancangan bangunan Cyrstal Palace2 dan Menara Eiffel3 dimana hasil kerja keras dan pemikiran rasionalis dan empirikal dari jurutera telah Berjaya menghasilkan sebuah karya seni bina yang luar biasa dan diakui sehingga hari ini. Arkitek dan ahli akademik dalam bidang seni bina perlu keluar daripada kepompong dan zon selesa mereka untuk bersama dengan ahli akademik dan profesyen yang lain seperti ahli antropologi, jurutera, psikologi, doktor dan matematik bekerja sama mengembangkan bidang ini terutamanya dalam upaya memelihara dan memenuhi keperluan budaya hidup dan memberi nilai lebih bagi semangat sosial masyarakat di Malaysia.
Krisis dan permasalahan seni bina sebagaimana telah disebutkan diatas juga banyak disumbangkan oleh sikap pendidikan dan profesyen seni bina. Sebahagian besar projek studio seni reka adalah bangunan elit seperti rumah artis atau tempat bercuti, jarang sekali ditemui projek studio seni reka yang menyentuh isu masyarakat awam seperti perumahan dan ruang publik. Projek sebegini jika dilihat dari satu perspektif  mengasah dan memungkinkan eksplorasi pelbagai bentuk dan bahasa seni bina, namun ianya tidak menyentuh dan melatih sensitiviti pelajar untuk memahami permasalahan sosial dan memberi sumbangan kepada masyarakat yang ada di sekitarnya.
1.2 Krisis dan Permasalahan Perumahan Moden untuk Berkembang dari Sudut Pandang Sebuah Keluarga Salah satu contoh yang sangat jelas   mempamerkan permasalahan dalam bidang seni bina sebagaimana telah dijelaskan di atas adalah perancangan perumahan moden yang sedia ada pada masa kini. Pelbagai perumahan moden seperti rumah teres, perumahan murah, pangsapuri murah hingga ke pangsapuri mewah   dan banglo menghadapi pelbagai permasalahan serius baik dari aspek keselamatan, keselesaan mahupun kesesuaian budaya dengan budaya yang ada pada masyarakat Malaysia. Sedikit sebanyak, terdapat enam masalah utama dari perumahan moden di Malaysia  iaitu  masalah  keselamatan  terutamanya  dalam  bangunan  tinggi  dan  rumah  teres, masalah jenayah dalam taman perumahan, masalah privasi, masalah kesesuian budaya, masalah keselesaan termal dan masalah kemampuan berkembang mengikut keperluan dari sebuah rumah. Kertas kerja ini secara khusus akan membahas tentang masalah yang terakhir iaitu kemampuan berkembang dari sebuah perumahan moden dalam memenuhi keperluan dan budaya dari pemiliknya. Tanpa mengecilkan permasalahan yang lain dari perumahan moden, permasalahan potensi pengembangan sebuah rumah ini sangat penting terutama dalam usaha memperkuatkan institusi keluarga sebagai unit terkecil dari tamadun Melayu secara keseluruhan. Oleh kerana itu d sebuah analisis dan perbincangan diperlukan dari sudut pandang keluarga bagi mengenal pasti masalah dan kepentingan dari penyelidikan ini.
Terdapat empat (4) masalah utama dari perumahan moden kini jika   dilihat daripada sudut pandang sebuah keluarga. Permasalahan yang pertama adalah kenyataan bahawa sebuah ahli keluarga akan membesar dan mengecil sesuai dengan perkembangan para ahli keluarga, permasalahan yang kedua adalah perubahan dan perbezaan budaya antara generasi tua dengan yang muda, permasalahan yang ketiga adalah pertambahan ahli keluarga melalui perkahwinan dan pertalian keluarga manakala permasalahan yang keempat adalah kemungkinan suatu keluarga untuk berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Permasalahan yang pertama merupakan suatu masalah yang akan dan pasti terjadi terhadap semua keluarga. Dalam setiap keluarga anak akan semakin membesar dan orang tua akan semakin tua. Dalam perkembangan seorang anak pada setiap fasa kehidupannya tentu memerlukan pendekatan serta keperluan ruang yang berbeza. Keperluan ruang seorang anak di bawah umur lima tahun sudah tentu berbeza dengan keperluan anak yang sudah bersekolah yang tentu sahaja sangat berbeza dengan keperluan anak pada usia remaja atau mahasiswa. Perumahan moden dewasa ini kurang sensitif terhadap keperluan ini. Anak-anak sebelum dan pada usia sekolah mungkin lebih banyak melakukan aktiviti luar rumah jika dibandingkan dengan anak-anak remaja. Oleh kerana itu, mereka memerlukan perancangan laman luar di dalam rumah yang lebih luas tetapi pada masa yang sama seiring dengan perkembangan mereka, mungkin memerlukan ruang bilik yang lebih luas ketika memasuki usia remaja. Oleh kerana tipologi perumahan moden yang wujud ketika  ini  tidak  mempunyai  refleksi  keanjalan  matematik,  maka  sangat  sukar  bagi  seorang pemilik rumah untuk memenuhi permintaan dari pertambahan anaknya.
Contoh lain dapat dilihat dari pertambahan usia bagi warga orang tua. Pada usia 30 atau 40 tahun mungkin mereka masih cukup sihat untuk menaiki tangga menuju bilik mereka pada tingkat atas. Namun ketika memasuki usia 50 atau 60 tahun keadaan fizikal mereka tidak lagi mengizinkan bagi pergerakan badan mereka untuk menaiki tangga. Oleh kerana itu, rumah perlu menyesuaikan diri dan berubah mengikut keperluan ini. Pertambahan jumlah ahli keluarga seperti kelahiran seorang bayi juga perlu diambil kira dalam pengembangan sesebuah rumah kerana sebuah ruang simpanan diperlukan dan juga ruang-ruang untuk menyokong kelahiran anggota keluarga yang baru tersebut.
Permasalahan serius yang kedua adalah perubahan dan perbezaan budaya antara generasi tua dan muda. Arkitek dalam merancang rumah kediaman perlu sensitif bahawa generasi muda terutamanya anak remaja memerlukan privasi dan kebebasan untuk mengekspresikan dirinya. Dengan tenaga yang mereka milik,i generasi muda memerlukan tempat penyaluran yang positif dan bermanfaat. Sementara pada perspektif yang lain generasi tua merupakan generasi yang matang. Melalui pelbagai pengalaman dan asam garam hidup mereka generasi ini kaya dengan pelbagai pengajaran dan ilmu. Mereka juga memerlukan tempat penyaluran pengalaman dan ilmu yang ada pada mereka. Oleh kerana itu, perancangan ruang bagi kedua-dua golongan ini memerlukan cara menangani yang khusus dan berbeza. Tanpa sebuah penyelesaian dan perlakuan yang cermat terhadap kedua golongan ini kita akan mengahadapi sebuah potensi konflik yang sangat besar sebagaimana terlihat pada perumahan moden kita saat ini.
Permasalahan yang ketiga yang juga perlu diambil-kira dalam pengembangan sebuah rumah adalah penambahan ahli keluarga melalui perkahwinan dan pengangkatan ahli keluarga baru. Melalui dua saluran penambahan ahli keluarga ini kita akan memasukkan orang di luar keluarga inti tadi ke dalam rumah. Setiap keluarga memiliki metode dan cara perlakuan yang berbeda terhadap  para  ahli  mereka.  Diperlukan  sebuah  pendekatan  dan  perlakuan  yang  khusus  dan berbeda terhadap orang luar keluarga tersebut yang pada akhirnya melahirkan keperluan akan sebuah ruang yang khusus dan berkembang.
Permasalahan yang terakhir namun juga penting dari keperluan reka-bentuk dan kepentingan perkembangan sebuah rumah adalah keperluan sebuah keluarga untuk berpindah dari satu tempat ke tenpat yang lain. Keperluan ini sangat penting bagi sebuah keluarga kerana suatu keluarga tidak akan secara statik dan pasif mendiami dan bermukim pada suatu tempat selama-lamanya. Banyak factor yang mempengaruhi penghijrahan sesebuah keluarga, sama ada faktor perpindahan tempat kerja, bencana alam, perancangan persekolahan anak-anak atau peluang untuk meningkatkan status ekonomi keluarga. Kenyataan bahawa sesbuah keluarga perlu berpindah memerlukan penyelesaian dan perhatian yang ekstra yang akhirnya memiliki implikasi bagi perancangan  sesebuah  perumahan.  Rumah  perlu  fleksibel  supaya  mudah  diuruskan,  dihias kembali atau dipindahkan bagi memenuhi keperluan ini. Oleh sebab itu, pelbagai idea tentang rumah yang dapat bergerak,mudah alih, mudah berubah bentuk perlu dipertimbangkan kepentingannya
1.3 Pengajaran dari Rumah Tradisional Melayu
Dalam warisan seni bina rumah Melayu tradisional, penggunaan prinsip matematik asas bukanlah satu perkara baru. Tubuh manusia seperti kaki badan dan kepala digunakan sebagai konsep asas keseimbangan dalam reka bentuk rumah yang mewakili bahagian tiang, badan rumah (lantai dan dinding) serta  bumbung. Terdapat pelbagai sistem  ukuran dalam  pembinaan rumah  Melayu seperti depa, hasta, jengkal, jari dan ketuk. Penggunaan ukuran tersebut adalah tidak sama di antara satu rumah dengan rumah yang lain dan ia dikatakan merujuk kepada saiz ukuran ‘ibu rumah’ iaitu wanita yang menjadi isteri dan ibu kepada anak-anak di rumah tersebut. Selain daripada ukuran dari kaum ibu, terdapat juga elemen-elemen lain yang dijadikan rujukan dalam menentukan saiz sesebuah rumah Melayu. Di Negeri Sembilan, ada reka bentuk Serambi Lintang rumah Melayu di negeri tersebut yang menggunakan dulang sebagai asas ukurannya. Penggunaan dulang dikatakan berkait rapat dengan fungsi ruang tersebut sebagai ruang keramaian. Dengan menggunakan dulang sebagai asas sistem ukuran, jumlah tetamu yang boleh dimuatkan ke dalam ruang tersebut boleh dirancang sewaktu pembinaan sesebuah rumah. Selain dulang, terdapat juga rumah Melayu yang menggunakan atap nipah sebagai asas sistem ukuran. Penghasilan atap nipah adalah seragam (kira-kira 5 kaki) dan dengan menggunakan bahan binaan tersebut sebagai asas sistem ukuran, maka ianya dapat mengelakkan pemotongan ketika proses pembinaan (Lihat Gambar 1).
Reka Bentuk dan Pembinaan Rumah Melayu juga berteraskan konsep organik yang membolehkan ianya diubah sama ada dalam bentuk saiz ataupun lokasinya. Dari segi saiz, peningkatan tahap ekonomi masyarakat tradisi membawa kepada pembinaan rumah yang lebih besar dan cantik. Pembinaan rumah yang lebih besar seperti tiang 12 atau 16 boleh dilakukan secara berperingkat kerana ciri rumah Melayu yang dibina dalam bentuk modul. Justeru, dalam proses pembinaan, rumah asal biasanya tidak diruntuhkan sebaliknya disambungkan dengan unit baru oleh Selang. Fleksibiliti rumah Melayu bukan setakat dalam proses pembesarannya sahaja tetapi juga boleh dikurangkan sekiranya keadaan memerlukan. Sebagai contoh, ketua keluarga dalam masyarakat Melayu dahulu kala akan mewaris atau menghadiahkan sebahagian dari unit rumahnya kepada anak lelaki yang baru mendirikan rumah tangga. Oleh yang demikian, unit yang dihadiahkan ini akan dipindahkan secara bergotong-royong ke tapak yang baru dengan cara mengangkatnya (N.A.Halim 1985)
Selain  dengan  cara  mengangkatnya,  rumah  Melayu  juga  boleh  dipindahkan  dengan  cara membuka komponennya satu persatu. Sistem binaan rumah Melayu yang menggunakan bahan binaan kayu dan dicantumkan dengan menggunakan pasak dan tanggam, membolehkan ianya dibuka serta dipasang kembali tanpa merosakkan reka bentuk asalnya. Rumusan yang boleh dibuat di sini ialah, sifat sensitif masyarakat tradisional Melayu terhadap aspek keseimbangan, praktikal dan fleksibiliti telah mendorong mereka mencipta beberapa teori matematik mudah dalam reka bentuk dan pembinaan rumah Melayu tradisional (Gambar 2).
1.4 Pengajaran dari Beberapa Arkitek Master Seni Bina Moden
Selain pengajaran yang didapati daripada rumah tradisional Melayu sebagaimana telah disebutkan di atas, kertas kerja ini dikira merupakan sebuah keperluan untuk mengambil pengajaran dari para master Seni Bina Moden dalam usaha memperkayakan lagi perbendaharaan idea dan pendekatan dalam menangani keperluan akan rumah yang berkembang ini. Terdapat tiga idea dan pendekatan dari para master Seni Bina Moden yang dikira perlu dan dapat memperkaya idea dan pendekatan
kita mengenai topic rumah yang berkembang ini, iaitu sistem modular Le Corbusier, idea adaptasi
tapak Frank Lloyd Wright dan gagasan pelan yang terbuka oleh Mies van der Rohe. Diharapkan penambahan kajian ini dapat memperkaya, melengkapi atau menjadi media pembanding kepada pelbagai idea dan pengajaran dari rumah tradisional sebagaimana telah disebutkan sebelumnya.
1.4.1 Sistem Modular oleh Le Corbusier
Salah seorang master arkitek dalam Seni Bina Moden, Le Corbusier telah mengemukakan sebuah idea yang yang cukup penting dan bersesuaian dengan kertas kerja ini. Le Corbusier mengemukakan idea tentang merancang dan membahagikan elemen-elemen suatu bangunan berdasarkan suatu sistem dan piawaian tertentu atau modul yang dapat diproduksi secara pukal di kilang-kilang (lihat gambar 3).
Tujuan utama dari pembahagian ini adalah untuk mencapai suatu piawaian dan proporsi estetika tertentu bagi menjadikan sesebuah bangunan mampunyai nilai estetika sebagaimana susunan dan nisbah bangunan-banguan yang cantik di masa lampau. Dengan sebuah pemahaman terhadap pelanggan dan piawaian yang tepat pendekatan ini akan sangat berguna bagi pengembangan sesebuah rumah. Pembahagian elemen bangunan kepada suatu piawaian yang lebih kecil akan mempercepatkan proses pembuatan, memudahkannya untuk berkembang dan dialihkan dari satu tempat ke tempat yang lain.
1.4.2 Idea Ruang yang Terbuka oleh Mies van der Rohe
Idea dan pendekatan lain yang mungkin berguna bagi idea tentang rumah yang berkembang ini adalah idea tentang ruang terbuka atau open plan yang cuba dikemukakan oleh Mies van der Rohe.  Melalui  idenya  tentang  kebebasan  dan  fleksibilitas  struktur,  beliau  mencuba  untuk mengalihkan dan menghilangkan fungsi struktur dari dinding pada sebuah bangunan kepada tiang atau rangka bangunan. Dengan memindahkan atau mengeluarkan fungsi dinding sebagai sebuah struktur  pada  sesebuah  bangunan,  ruang  di  dalam  suatu  bangunan  yang  ditentukan  oleh kewujudan dinding akan mudah diatur dan diubah-suai (lihat gambar 4).
Bagi pengetahuan umum, idea ruang terbuka ini bukan satu idea yang baru. Masyarakat Jepun melalui rumah kertas dan  nisbah tatami telah  menerapkan dan  menggunakan konsep ruang terbuka ini pada rumah-rumah mereka yang masih relevan dan digunakan sehingga hari ini. Namun hanya Mies  arkitek yang berjaya mengembangkan idea ruang yang terbuka ini dengan sokongan yang cukup dari aspek teknologi dan kerangka strukturnya.
Satu sumbangan yang lain dari Mies van der Rohe dalam dunia Seni Bina yang dapat kita gunakan bagi idea tentang rumah yang berkembang ini adalah idea tentang sistem perancangan grid yang membahagikan segala aspek reka bentuk kepada elemen dan komponen kecil. Sebagaimana sistem modular, elemen kecil grid ini akan memungkinkan sebuah pengembangan yang luas ke semua arah dengan tetap memperhatikan aspek estetika dan keberkesanannya.
1.4.3 Adaptasi Tapak oleh Frank Lloyd Wright
Satu   pendekatan   lain   yang   juga   perlu   daimbil-kira   sebagai   sebuah   pengajaran   bagi pengembangan rumah ini adalah apa yang cuba dilakukan oleh master kepada arkitek di Amerika, Frank Lloyd Wright. Dalam pelbagai perancangan rumah Praire Frank Lloyd Wright tidak berusaha menghasilkan  piawaian  sebagaimana yang dilakukan oleh Le Corbusier atau Mies van der Rohe. Beliau memperibadiakan reka bentuk dan gaya rupa dari reka bentuknya. Beliau secara total dan dan bersungguh-sungguh berusaha memberikan kualiti ruang yang terbaik dalam usaha memenuhi permintaan pelanggannya dan pada masa yang sama memenuhi idealisme beliau sebagai pecinta alam sekitar dan demokrat bangsa Amerika sebagaimana beliau nyatakan berikut ini:
“The real body of our universe is spiritualities-the real body of the real life we live. From the waist up we’re spiritual at least. Our true humanity begins from the belt up, doesn’t it? Therein comes the difference between the animal and the man. Man is chiefly animal
until he makes something of himself in the life of the spirit so that he becomes spiritually inspired-spiritually aware. Until then he is not creative. He can’t be.“4
Berbeza dengan Le Corbusier dan Mies sebagaimana yang disebutkan di atas Frank Lloyd Wright melihat tapak sebagai sebuah elemen terbesar yang menentukan hala tuju dari sebuah reka bentuk disamping permintaan dan keperluan dari pelanggannya. Bangunan atau ruang yang beliau reka bentuk secara spesifik dan khusus sesuai dan dirancang hanya untuk lokasi tersebut sahaja. Bangunan tidak dapat diletakkan di tempat lain.
Dalam perancangan tapak reka bentuknya Frank Lloyd Wright secara berhati-hati menjaga alam sekitarnya dengan menyisipkan bangunan beliau kepada susunan semula jadi yang memang sudah  berada  di  atas  tapak  (lihat  gambar  5).  Dengan  melakukan  ini  sesebuah  ruang  atau bangunan akan bersatu dengan alam sekitarnya dan akan berinteraksi secara positif. Pemilihan bahan bangunan dan ornamentasi serta kaedah reka bentuk pun dengan sangat berhati-hati dipilih menggunakan teknologi dan bahan tempatan sehingga sesebuah bangunan akan dapat diubah suai dengan mudah dan tidak memerlukan perawatan yang khusus dan mahal dalam masa hidupnya. Prinsip dan pendekatan ini akan sangat berguna dan penting bagi perancangan rumah yang berkembang di masa hadapan. Walaupun dilihat bertulang belakangkan sistem dan kaedah sebagaimana yang dilakukan oleh Le Corbusier dan Mies van der Rohe, namun pendekatan Wright sangat penting dalam upaya mengoptimumkan dan memastikan keserasian antara ruang dan bangunan dengan tapak sebagai konteks dimana ia berada.
1.5 Kerangka Pemikiran, Isu dan Faktor yang Mempengaruhi Pertimbangan Reka Bentuk
Rumah yang berkembang
Sebagai sebuah hasil dari pengajaran rumah tradisional Melayu sebagaimana telah dijelaskan sebelumnya, beberapa prinsip dan kerangka pemikiran perlu dipertimbangkan dalam pengembangan kerangka reka bentuk rumah yang berkembang ini. Diantara kerangka pemikiran yang penting adalah pemilihan bahan, keanjalan dari ruang dan pemilihan bentuk ruang, kajian sistem  sambungan struktur atau  tanggam dan  kajian  mendalam terhadap kondisi sosial dan budaya masyarakat Melayu serta sensitiviti terhadap tapak dan konteks. Diharapkan penjelasan singkat di bawah ini dapat memberi kerangka awal dan memulakan sebuah kajian yang lebih mendalam yang memeberi sumbangan terhadap pengembangan idea reka bentuknya di masa hadapan.
1.5.1 Pemilihan bahan
Pemilihan bahan merupakan elemen yang paling penting dalam pengaplikasian rumah yang berkembang. Pemilihan bahan menjadi suatu elemen yang sangat krusial kerana melaluinya fleksibilitas sebuah rumah untuk berkembang dapat ditentukan. Pemilihan bahan batu bata dan masonry dirasakan kurang berapa tepat bagi perumahan di Nusantara bukan hanya kerana kurang mesra dengan keadaan iklim yang ada di Malaysia, malah menyulitkan proses untuk berubah bentuk atau berkembang. Kayu merupakan pilihan bahan yang paling sesuai dan berpotensi untuk dikembangkan di Malaysia. Dengan sebuah kajian dan penelitian yang tepat, pelbagai kelemahan pada kayu seperti aspek kekuatan, kemampuan bertahan terhadap cuaca dan pemilihan bentuk dan spesifikasi, kayu akan menjadi sebuah pilihan bahan yang sangat penting dan berguna bagi konsep rumah yang berkembang ini.
1.5.2 Keanjalan dari ruang dan pemilihan bentuk ruang
4 Wright, Frank Lloyd, Truth Against the World, hal 270
Faktor dan kerangka yang lain, yang juga perlu diambil kira dalam pengembangan kerangka dan usulan reka bentuk rumah yang berkembang adalah keanjalan dari ruang tersebut dan pemilihan bentuk ruang. Perkara   yang dilakukan oleh Mies van der Rohe di atas dengan konsep ruang terbuka dan pemilihan bentuk grid mungkin merupakan rujukan yang cukup tepat bagi pemilihan ruang yang lebih anjal dengan bentuk yang lebih sesuai.
1.5.3 Sistem sambungan struktur atau tanggam
Faktor lain yang juga penting untuk diambil kira bagi sebuah rumah untuk berkembang adalah pemahaman dan kajian yang cukup tentang sistem sambungan atau sistem konstruksi. Sistem sambungan merupakan salah satu komponen utama yang memungkinkan sebuah rumah untuk berkembang dan elemennya disambung atau disusun kembali. Dengan sebuah kajian yang  teliti dan mendalam tentang sistem sambungan atau di dalam rumah tradisional Melayu dikenal pasti sebagai tanggam proses pengembangan dan penyusunan semula dari sebuah rumah dapat dilakukan secara terangka dan cekap baik dari segi kekuatan maupun dari segi pembiayaan.
1.5.4 Kajian mendalam terhadap kondisi sosial dan budaya masayarakat
Isu dan kerangka utama yang tidak kurang penting bagi pengembangan sebuah rumah adalah kajian  yang  mendalam  tentang  kondisi  sosial  dan  budaya  dari  masyarakat  yang  akan menggunakan dan mendiami rumah tersebut. Dengan sebuah kajian yang mendalam, huraian terhadap budaya dan kondisi sosial dari sebuah masyarakat kita akan dapat mengenal pasti pola harian, keperluan dan karakter dari unit keluarga dari masyarakat yang tinggal di rumah tersebut. Pemahaman terhadap pola harian, keperluan dan kondisi sosial ini akan memberikan kita cukup bahan bagi perancangan ruang dalam sesebuah rumah beserta pola dan kemungkinan pengembangannya.
1.5.5 Sensitiviti terhadap tapak dan konteks
Faktor terakhir yang sangat penting dan perlu diambil kira dalam reka bentuk rumah yang berkembang adalah sensitiviti terhadap terhadap tapak dan konteks. Pada prinsipnya isu yang terakhir ini  serupa dengan isu  dan faktor sebelumnya, namun jika  faktor sebelumnya lebih melihat kepada aspek bukan fizikal, maka fakotr yang terakhir ini lebih menfokuskan kepada aspek fizikal dari keadaan di sekitar tapak perumahan. Kaedah dan pendekatan yang digunakan Frank Lloyd Wright sebagaimana yang telah disebutkan sebelumnya dengan berhati hati meletakkan massa bangunan dan memilih bahan serta kaedah pembinaan yang perlu diambil kira dan  dijadikan contoh dalam pengembangan sesebuah rumah agar  dapat  berinteraksi dengan positif dengan tapak sekitarnya.
1.6 Kesimpulan
Daripada huraian di atas, jelas kelihatan bahawa rumah tradisional Melayu memiliki potensi dan kemampuan untuk berkembang dengan baik dengan tetap mempertahankan sensitiviti dan hubungan baiknya dengan masyarakat sekitar, baik dari aspek sosial budaya mahupun keperluan pragmatiknya. Dengan sebuah penelitian dan penyelidikan yang teliti dan mendalam dengan melibatkan pelbagai disiplin ilmu seperti matematik, kejuruteraan, bahan dan sosiologi serta antropologi, potensi yang ada pada rumah tradisional melayu untuk berkembang ini akan dapat memberikan sebuah sumbangan yang sangat bermakna pada perancangan dan reka-bentuk perumahan moden.
Senarai Rujukan
1.   Corbusier, Le (1925). The Decorative Art of Today. Massachusetts: The MIT Press.
2.   Corbusier, Le (1962). Vers Une Architecture: Architecture of Pure Creation of the Mind.
Colombia Universiti.
3.   Curtis, William JR (1982). Modern Architecture since 1900. Oxford: Phaidon Press Ltd.
4.   Kostof, Spiro (1977). The Architect: Chapters in the History of the Profession. New
York: Oxford University Press.
5.   N.A Halim. 1985. Pengenalan Rumah Tradisional Melayu Semenanjung Malaysia.
Darulfikir. Kuala Lumpur. Malaysia.
6.   Ruskin, John (1925). The Seven Lamp of Architecture. London:George Allen & Unwind
Ltd.
7.   Utaberta, Nangkula (ed) (2003). KALAM Books: Sejarah, Teori dan Kritikan Seni Bina.
Johor Bahru: Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM).
8.   Utaberta, Nangkula (ed) (2003). KALAM Books: Seni Bina Malaysia; Kritikan Masa
Kini. Johor Bahru: Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM).
9.   Wright, Frank Lloyd (1957). Truth Against the World. New York: A Wiley-interscience
Publication.
10. Wright, Frank Lloyd (1957). A Testament. London: Architectural Press.
11. Wright, Frank Lloyd (1958). The Living City. New York: Horizon Press.
12. Wright, Olgivanna Lloyd (1966). Frank Lloyd Wright; His Life, His Work, His Words.
London: Pitman Publishing.
13. Wright, Frank Lloyd (1954). The Natural House. New York: Horizon Press
Lampiran
Gambar 1: Reka Bentuk Rumah Melayu berteraskan konsep kesimbangan tubuh manusia.
Gambar 2: Rumah Melayu dipindahkan ke tapak baru secara bergotong-royong Sumber : Abdul Halim Nasir 1985
Gambar 3: Lakaran kajian nisbah modular oleh Le Corbusier
Gambar 4: Contoh bangunan karya Mies van der Rohe yang menunjukkan fungsi dari sebuah ruang yang dapat digunakan secara universal.
Gambar 5: Pelbagai bangunan karya Frank Lloyd Wright yang mencerminkan kepentingan dan penghormatan terhadap alam dan lingkungan dimana bangunan tersebut dibina.

No comments:

Post a Comment